BUTLER ANGKAT KAKI

|
Kongsikan Maklumat Ini Di Facebook Anda

Oleh Siti Nor Hidayah Razali
am@hmetro.com.my

SELEPAS hampir setahun berkhidmat dengan pasukan bola sepak Kelantan, Peter Butler akhirnya meletakkan jawatan jurulatih 'The Red Warriors', berkuat kuasa kelmarin.

Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa, dalam sidang media di kediamannya di Bukit Marak, Kota Bharu, semalam.

Beliau berkata, Butler yang memulakan tugas melatih pasukan itu November tahun lalu, meletakkan jawatan atas alasan mahu memberikan tumpuan kepada isterinya yang sedang sakit.


“Peletakan jawatan itu berkuat kuasa kelmarin, walaupun kontraknya belum berakhir lagi dan masih lagi berbaki kira-kira dua bulan. Berikutan peletakan jawatan itu, kami kehilangan jurulatih berharga kerana beliau pernah membawa Kelantan ke pertandingan akhir Piala Malaysia musim lalu,” katanya yang sebelum itu menyampaikan wang zakat kepada 300 golongan miskin, termasuk pelajar dan warga emas.

Beliau berkata, seluruh warga Kafa terkejut dengan surat peletakan jawatan Butler itu, tapi menerimanya dengan hati terbuka.

Menurutnya, surat pengesahan peletakan jawatan Butler itu diterima melalui faksimili, kelmarin.

Sehubungan itu, Annuar berkata, beliau kemudian mengadakan perbincangan dengan pemain dan pegawai pasukan Kelantan dan mereka semuanya bersetuju dengan peletakan jawatan Butler itu.

“Bagi menggantikan tempat Butler, kami melantik penolong jurulatih, Hashim Mustafa sebagai jurulatih sementara, berkuat kuasa kelmarin, manakala jurulatih Piala Presiden, Kamaruddin Mohd Nor, pembantu kepada Hashim,” katanya.

Annuar berkata, beliau juga ada mendengar khabar angin yang mengatakan Butler sudah menandatangani kontrak jurulatih dengan pasukan luar negara, walaupun masih terikat bersama Kelantan.

“Jika hal ini betul, kami berasa kecewa kerana beliau sanggup berbuat demikian kerana tidak menghormati baki kontraknya itu,” katanya.

Bagaimanapun, Annuar mengharapkan gandingan Hashim dan Kamaruddin dapat membawa Kelantan muncul juara saingan Piala Malaysia yang akan bermula 26 September ini.

Annuar berkata, sebagai persediaan, mereka akan mengadakan sekurang-kurangnya lima perlawanan persahabatan, termasuk pasukan dari Thailand dan Amerika Syarikat.

Comments :

have 0 comments at “BUTLER ANGKAT KAKI”

Catat Ulasan

Blog Cheni™ telah menggunakan 'do follow' untuk link setiap komen anda. Link anda tersebut akan tersenarai dalam search engine. Oleh itu, komen anda di sini sangat dialu-alukan. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails

FB